Saturday, November 12, 2011

ULANGKAJI SAAT AKHIR.... MEMBUAT LATIHAN

CERPEN ISRAK

Set 1

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitan sahaja. Israk mencebik.

“TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.

Dengan spontan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4m x 6m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.

“Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!’

Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.

“Abang, kalau tanpa Wah, pa tidak hadir ke dunia. Sekaligus kita berdua pun tidak melihat dunia seperti sekarang.”

“Teori pembiakan manusia itu abang sudah tahu. Tak perlu diajar lagi!”

“Ini peluang bagi abang …. Rebutlah. Jangan pula abang menyesal kemudian hari.”

“Kurang faham!”

“Abang terlalu mengikut hati. Atma, perasaan, jiwa, kalbu, garisah, naluri, dan sebagainya termasuk nafsu! Sepatutnya abang yang memandu hati, bukan hati yang memandu abang!”

(Dipetik daripada cerpen Israk

Oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja

Dewan Bahasa dan Pustaka.)

(i) Terangkan maksud cacing kepanasan dalam petikan di atas.

[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah kita wajar menghormati orang yang lebih tua daripada kita?

Kemukakan tiga pendapat anda. [3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar masyarakat lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.

[4 markah]

Set 2

Baca petikan cerpen di bawah ibi dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Gambaran ketidakselesaan jelas terbayang pada wajah Israk. Dia menjodong. Mujur gitar yang dibeli di Buenos Aires dibawa bersama. Penghibur ketika waktu bosan. Siti Hawa yang memerhatikan tingkah anak bujangnya itu hanya menggeleng. Geleng ibu bukan sebarang geleng. Ishak yang dibesarkan di Perth itu langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah Wah. Inilah pertama kali dia melihat Wah dari dekat. Hidup Wah Nampak berbeza daripada hidupnya. Baginya, pengajiannya dalam bidang korporat itu tidak akan menjadikan hidupnya seperti Wah. Temperamen mengatasi segalanya.

“Adam, bawalah anak bini kamu ke dapur. Tadi, mak pungut buah-buahan tu. Makanlah,” kata Wah dengan tenang sekali.

Mikraj mengintai Wah melalui langsir pintu bilik yang bergerak ditampar angin desa. Wah bersolat sebaik sahaja azan selesai berkumandang. Wah orang alim kerana lahir dalam kalangan orang alim.

“Wow, lawanya!” Mikraj berteriak ketika melihat isi buah durian yang keemas-emasan itu.

(Dipetik daripada cerpen Israk

Oleh Erda Roslan Khairi antologi Harga Remaja,

Dewan Bahasa dan Pustaka.)

(i) Gambaran ketidakselesaan jelas terbayang pada wajah Israk.

Mengapakah Israk berkeadaan demikian.

[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang dapat anda lakukan untuk menggembirakan ibu bapa kita?

Berikan tiga tindakan.

[3 markah]

(iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam cerpen.



Set 3

Baca petikan cerpen di bawah ibi dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Dulu, buah dari kebun Wahlah yang menghantar pa menjadi seorang insan yang dominan. Pa bersyukur kerana Dia Yang Maha Kaya menganugerahkan rezeki seperti ini. Kalau tidak sudah tentu muka pa ini orang boleh jumpa di tapak binaan atau di ladang kelapa sawit.” Adam bersuara untuk menyedarkan Israk akan asal usulnya.

“Itu masalah pa. Sudah menjadi sejarah. Buat apa dikenang lagi.”

“Kalau tidak kerana sejarah, kita tidak akan hidup. Contohnya, sejarah kemerdekaan negara kita ini. Jika kita tidak mengambil ikhtibar daripanya, tentu kita akan melakukan kesilapan yang stereotaip.”

Wah keluar dari biliknya dengan wajah yang jernih akibat curahan wuduk. Persis Siti Hajarkah? Atau Siti Maryam?

“Israk, jamahlah buah-buahan, tu dulu. Wah kutip semata-mata nak bagi kamu rasa.” Lembut bicara Wah memujuk cucunya itu.

Israk menggeliat menepis tangan berbelulang itu. Mikraj yang memerhatikan sejak lama diam membatu. Pegun. Dia bagaikan gunung berapi pendam.

( Dipetik daripada cerpen Israk

oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja

Dewan Bahasa dan Pustaka.)

(i) Nyatakan dua keadaan yang menyebabkan Adam berasa bersyukur dalam hidupnya.

[2 markah]

(ii) Sekiranya anda Adam, apakah yang anda boleh lakukan untuk menyedarkan Israk supaya lebih menghormati Wah? [3 markah]

(iii) Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu nilai kemanusiaan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.

[4 markah]

Cadangan jawapan

Set 1

(i) Maksud rangkai kata cacing kepanasan adalah:

- Menjadi tidak tentu arah.

- Menjadi gelisah/ tidak selesa/ terseksa

[2 markah]

(ii) Kita wajar menghormati orang yang lebih tua daripada kita kerana:

- Orang tua banyak mempunyai pengalaman/ berkemampuan untuk memberi nasihat atau panduan kepada kita.

- Orang tua seperti ibu bapa banyak jasanya kepada kita terutama dalam memberikan pendidikan dan menjaga keselamatan diri kita.

- Golongan muda perlu menjadi orang yang bersopan/ berbudi bahasa sesuai dengan budaya Timur/ nilai Islam.

- Menjadi tuntutan agama dan adat agar yang muda menghormati orang yang lebih tua.

[3 markah]

(iii) Satu latar masyarakat dalam petikan:

- Masyarakat yang suka memberi nasihat. Contohnya Mikraj tanpa jemu memberikan nasihat kepada Israk tentang tanggungjawabnya kepada nenek mereka/ menghormati nenek.

Satu latar masyarakat dalam keseluruhan cerpen.

- Masyarakat yang penyayang. Contohnya Mikraj sayang akan neneknya Wah.

- Masyarakat yang dibesarkan dan mendapat pendidikan di luar negara. Contohnya Israk dibesarkan di Perth dan mendapat pendidikan dalam bidang korporat.

- Masyarakat desa yang banyak mengusahakan kebun buah-buahan. Contohnya Wah mengusahakan kebuh buah-buahan dan membesarkan Adam sehingga berjaya dengan hasil tanaman.

[4 markah]

Set 2

(i) Israk berkeadaan demikian kerana:

- Israk dibesarkan dalam latar belakang yang berbeza iaitu di luar negara (Perth).

- Itulah kali pertama Israk ke rumah Wah.

[2 markah]

(ii) Antara tindakan yang boleh saya lakukan untuk mengembirakan hati orang tua adalah:

- Menjaga kebajikannya dan sentiasa membawa orang tua bersiar-siar.

- Sentiasa menjaga hati mereka dan tidak mengecilkan hati mereka.

- Cuba memenuhi permintaan mereka.

- Beri mereka hadiah pada hari istimewa mereka.

- Selalu berada di samping mereka.

[3 markah]

(iii) Satu pengajaran yang terdapat dalam petikan:

- Kita mestilah ingat asal usul kita – Tindakan Israk yang lupa akan asal usulnya iaitu tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan hidup di kampong tidak disenangi oleh ahli keluarganya terutamanya adiknya Mikraj.

Satu pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan cerpen:

- Kita hendaklah sayang akan ahli keluarga kita – Wah begitu menyayangi anak cucunya. Dia memungut durian dan membawanya ke rumah untuk dimakan oleh anak dan cucunya.

- Kita perlu tabah menghadapi dugaan – Wah membesarkan anaknya dengan tabah setelah kematian suaminya.

- Setiap orang hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing-masing – Adam dan keluarganya tetap menziarahi emaknya di kampong kerana dia sedar akan tanggungjawab terhadap ibunya.

[4 markah]

Set 3

(i) Dua keadaan yang menyebabkan Adam bersyukur dalam hidupnya:

- Dulu buah dari kebun Wahlah yang menghantar Pa menjadi seorang insan yang dominan.

- Dia Yang Maha Kaya menganugerahkan rezeki.

[2 markah]

(ii) Sekiranya saya Adam, perkara yang boleh dilakukan untuk menyedarkan Israk supaya lebih menghormati Wah:

- Berikan didikan agama

- Memperlihatkan teladan yang baik.

- Menegur kesilapan Israk.

- Kerap menziarahi Wah agar hubungan lebih rapat.

- Israk tinggal bersama-sama Wah.

[3 markah]

(iii) Satu nilai dalam petikan:

- Bersyukur. Adam bersyukur kerana dapat melanjutkan pelajaran atas kegigihan Wah menyaranya dengan hasil tanaman.

Satu nilai dalam keseluruhan cerpen:

- Ketabahan. Wah tabah dan cekal menghadapi kematian suami ketika sedang mengandung dan membesarkan Adam tanpa suami.

- Kasih sayang. Rasa kecintaan yang mendalam ditunjukkan oleh Wah terhadap kedua-dua orang cucunya.

- Sabar. Wah sentiasa bersabar walaupun Israk sering menyakiti hatinya.

- Kebersihan fizikal dan mental. Wah rajin mengerjakan amal ibadat dan tidak pernah berdendam dengan Israk walaupun Israk banyak menyakiti hatinya.

[4 markah]

No comments:

Post a Comment