Syarahan
Peranan Kerajaan untuk Menarik Minat Masyarakat Terhadap Kesusasteraan Melayu
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha, Tuan Haji Amirul Hafiz, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan pelajar sekalian. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak sekolah mengundang saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Peranan Kerajaan untuk Menarik Minat Masyarakat Terhadap Kesusasteraan Melayu”. Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud “kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya”. Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah , sama ada tertulis atau tidak. Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita, Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Kita sendiri pula akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan hasil kesusasteraan. Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Secara kasarnya boleh dikategorikan kepada dua kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, iaitu prosa dan puisi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa, untuk menarik minat masyarakat terhadap kesusasteraan melayu, kerajaan memainkan peranan yang besar. Oleh itu, menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), kerajaan memberikan biaya yang besar untuk memastikan DBP dapat menerbitkan karya sasterawan tempatan. Kemudian, pada waktu yang sama, kita mengharapkan DBP menyebarluaskan karya yang diterbitkan itu untuk memudahkan masyarakat membelinya. Selain itu, kerajaan telah dan terus mengangkar karya yang terbaik untuk diberi anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana. Pengiktirafan ini mampu memberi galakan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih hebat. Pada waktu yang sama, karya yang diangkat sebagai penerima anugerah pula akan menjadi buruan pembaca. Karya yang baik sudah pastinya menjadi pilihan kepada pembaca untuk menatapnya. Selain itu, karya yang baik pula diterjemahkan kepada bahasa asing. Manakala karya antarabangsa asing, biasanya dalam bahasa Inggeris diterjemahkan ke bahasa kebangsaan. Menerusi cara ini, pembaca akan dapat berkongsi pengalaman dengan penulis yang berlatar belakang yang berbeza. Karya tempatan yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris seperti Salina karya A.Samad Said, Ranjau sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, dan koleksi puisi Usman Awang.
Hadirin yang dimuliakan,
Kerajaan juga perlu memastikan setiap rakyat Malaysia berminat membaca karya sastera. Oleh hal demikian, kerajaan perlu menekankan rakyat supaya membaca karya-karya sastera. Kita tidak dapat menafikan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia begitu tinggi, tetapi bahan yang dibaca hanyalah buku teks(bagi pelajar), majalah hiburan( bagi ramaja), dan akhbar (bagi orang dewasa). Minat membaca ini amat baik tetapi pendedahan akan faedah membaca karya sastera perlu disuburkan oleh pihak kerajaan menerusi media massa. Pada waktu yang sama, kita perlu mendidik diri sendiri supaya berusaha membaca karya sastera, sekurang-kurangnya senaskhah dalam tempoh sebulan. Jangan terlalu berkira soal wang kerana buku sastera bukanlah terlalu mahal jika dibandingkan kesanggupan menghabiskan RM 10.00 untuk membeli makanan segera. Seterusnya, kita buang prasangka buruk bahawa membaca karya sastera meletihkan otak, membazirkan masa dan wang, dan terlalu sukar difahami. Untuk peringkat awal, bacalah novel yang agak ringan, sebelum membaca karya sastera yang lebih berat. Sebenarnya membaca karya sastera yang agak berat boleh merangsang minda untuk berfikir secara lebih kritis.
Kerajaan perlu memastikan ibu bapa memainkan peranan yang sama untuk menggalakkan setiap ahli masyarakat membaca karya sastera. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memastikan di setiap rumah mempunyai perpustakaan mini. Di dalam perpustakaan tersebut, selain diisi dengan majalah, dan buku-buku ringan perlu juga diselitkan dengan karya sastera. Untuk memastikan anak-anak terangsang untuk membaca, cukup sekadar disediakan novel-novel remaja yang banyak terdapat di pasaran. Ibu bapa perlu tahu ,buku yang dibeli perlu seimbang dengan minat anak-anak, baharulah buku tersebut mahu dibaca. Pada waktu yang sama, sekiranya mahu membeli hadiah atas kejayaan anak-anak dalam pelajaran ataupun pada hari lahir mereka, hadiahkan mereka buku-buku terbaharu. Selain itu ibu bapa perlu membawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa yang sering diadakan di Kuala Lumpur pada bulan April, ataupun pesta buku di daerah masing-masing. Jika selama ini membawa anak bercuti ke tempat peranginan, apa salahnya membawa anak-anak ke gedung yang dipenuhi ilmu.
Kerajaan perlu melibatkan sekolah untuk menyemarakkan minat pelajar terhadap karya kesusasteraan. Oleh itu, langkah kerajaan memperkenalkan Komponen Kesusasteraan melayu (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amatlah disanjung tinggi. Oleh sebab mata pelajaran Bahasa Melayu wajib diambil, pelajar terpaksa mempelajari KOMSAS. Langkah ini menyemai minat para pelajar terhadap kesusasteraan Melayu, yang diharapkan mereka akan membaca karya-karya sastera yang terdapat di pasaran. Pada waktu yang sama , mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang kelihatan layu kerana kurang diambil oleh calon SPM diharapkan sudah sewajarnya diubah suai sukatan pelajarannya agar lebih ramai pelajar mengambilnya. Selama ini, para pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik dalam PMR sahaja yang dibenarkan ambil. Manakala pelajar yang cemerlang pula dicadangkan mengambil mata pelajaran yang dianggap mempunyai nilai untuk melangkah ke pusat pengajian tinggi. Seterusnya, guru-guru sendiri perlu mendedahkan para pelajar dengan buku-buku sastera. Guru boleh menceritakan sinopsis novel yang tinggi nilai sasteranya untuk menarik minat pelajar mendapatkan novel tersebut.
Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi,
Kerajaan juga boleh mengharapkan badan-badan antarabangsa bagi mengembangkan kesusasteraan Melayu. Salah satu daripadanya ialah Hadiah Nobel yang dimulakan dan dianugerahkan kepada individu dan juga pertubuhan dalam kes yang telah mencipta formula yang luar biasa atau memberikan sumbangan yang utama kepada masyarakat. Bagi kategori kesusasteraan, hadiah ini dianugerahkan kepada individu yang telah cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Oleh itu, kerajaan perlu memberikan dana untuk memastikan negara dapat menghasilkan karya yang bermutu agar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Kerajaan juga perlu menghantar sasterawan Malaysia ke bengkel atau seminar di luar negara untuk mendedahkan sasterawan dengan pengalaman baharu. Selain memperoleh ilmu, peluang bertemu dengan rakan sasterawan dari negara luar boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesusasteraan Melayu, sekali gus dapat menarik minat masyarakat untuk membacanya. Kita juga boleh mengharapkan para pelajar untuk membaca dan mengkaji bagi merangsang minat mereka untuk membaca karya sastera.
Kesimpulannya , dunia kesusasteraan Melayu harus menjadi sebuah dunia yang terbuka luas dan menjadi pusat serta saluran terhadap pemikiran bukan sahaja masyarakat Malaysia tetapi juga masyarakat Nusantara dan antarabangsa. Pandangan ini bukanlah suatu utopia sebenarnya jika usaha dan sikap positif itu menjadi tabiat “orang-orang sastera”. Dunia kesusasteraan Melayu harus membina suatu bentuk perasaan sepunya untuk semua masyarakat di Malaysia. Kesusasteraan Melayu harus berani untuk membuka dirinya kepada dunia yang luas dan bersedia untuk menerima unsur-unsur di luar tipikal sastera Melayu. Sesungguhnya, untuk mengembangkan minat masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu, peranan kerajaan tidak dapat dipersoalkan lagi. Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai perancangan untuk memastikan sastera Melayu gah di mata masyarakat, seperti kata Frank Tibolt, “Seseorang yang mempunyai perancangan dapat mengatasi sepuluh orang yang tidak mempunyai perancangan”. Akhir kalam bicara, saya sudahi dengan assalamualaikuwarahmatullah.
No comments:
Post a Comment