Saturday, November 5, 2011

KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG

Dasawarsa, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Sejak dua dan tiga dekad belakangan ini kita dapat menyaksikan lambakan jenama makanan yang memenuhi pasaran. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa makanan yang kita nikmati akan membentuk fizikal, mental waima keperibadian seseorang. Sebagaimana yang kita ketahui, makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan manusia yang amat memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan penjagaan kesihatan. Media massa turut berperanan menggalakkan pengambilan makanan seimbang dalam kalangan masyarakat. Kendatipun demikian, kita seharusnya memastikan pengambilan makanan yang seimbang mampu membawa kemaslahatan kepada setiap lapisan masyarakat.


Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa pemakanan seimbang mampu menjadi faktor dominan yang merangsang tumbesaran seseorang itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Bagi membina tubuh badan yang kuat dan kudrat tulang empat kerat yang berfungsi dengan sempurna, kita memerlukan zat yang mencukupi. Antara zat yang diperlukan oleh tubuh badan ialah protein, karbohidrat dan kalsium.
Berdasarkan petikan hadis yang berbunyi, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit…” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup. Tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas membolehkan seseorang manusia itu mampu melunaskan amanah yang terpikul di pundak mereka dengan begitu lancar dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang amat penting bukan sahaja untuk tumbesaran fizikal manusia malahan turut menjadi agen penggerak yang paling efektif bagi memastikan kesejahteraan berkekalan.

Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, kepentingan pemakanan seimbang yang menunjangi perkembangan mental seseorang. Selain itu, pemakanan yang seimbang boleh mengelakkan perkembangan mental seseorang itu terganggu. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu terganggu dan mengalami pelbagai kemudaratan. Keadaan ini juga menyebabkan kita mudah berasa letih. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sekiranya seseorang kekurangan sumber vitamin c dan zat yang penting, mereka akan menghadapi masalah daya ingatan. Hal ini juga menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Sudah terang lagi bersuluh, pemakanan seimbang menjadikan pemikiran manusia lebih stabil dan berdaya tahan persis cogan kata badan sihat otak cerdas.

Kita mengakui hakikat bahawa, pemakanan seimbang juga dapat membekalkan vitamin yang cukup kepada badan seseorang. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan cergas. Sebagai contoh, vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit. Vitamin ini sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah, dan penyembuhan luka.
Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisme beberapa jenis asid amino dan hormon.
Keseimbangan vitamin ini turut mengandungi antioksida, dengan membantu badan mengeluarkan kumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisme yang digelar sebagai radikal bebas.
Antara pemakanan seimbang yang terdapat dalam piramid makanan ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia lebih sihat.

Pengambilan makanan seimbang juga dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti penyakit. Dengan cara ini,seseorang itu tidak mudah dijangkiti penyakit. Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi dapat dielakkan.Hal ini bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan sihat sepanjang hayat.

Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti (kegemukan) dalam kalangan masyarakat . Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup berkhasiat. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment