Tuesday, November 8, 2011

Soalan 2:Peranan ibu bapa dalam menangani masalah ponteng sekolah

Dalam keghairahan dan obses mengejar serta merentasi momentum sirkulasi arus modenisasi yang giat bermain-main di mata masyarakat dunia, kita tersentak dengan variasi kemelut yang ditimbulkan oleh golongan yang berstatuskan pelajar. Sebagai analoginya ponteng sekolah. Masalah ini juga acapkali mendapat tempat di mana-mana tabloid seta media elektronik. Oleh itu, ibu bapa yang menjadi tonggak utama dalam sesebuah institusi keluarga , seyogianya bergerak secara aktif serta memainkan peranan mereka dalam usaha mencantas sedikit demi sedikit tabiat ini agar masa depan anak-anak mereka tidak gelap.

Antara peranan ibu bapa untuk mengatasi masalah ini ialah ibu bapa wajib memberikan didikan agama secara total selain memberi limpahan belaian kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Hal ini kerana remaja yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang akan mudah tergelincir daripada landasan keimanan. Lumrah jika dikatakan bahawa anak berdarah muda pada era ini ialah golongan yang sering terpengaruh terhadap persekitaran mereka apatah lagi mereka terpaksa berhadapan dengan dunia zaman sekarang yang sarat dengan gelombang muatan cabaran reformasi. Jika dilihat dari sudut zahirnya memangnya tidak dapat dinafikan lagi ibu bapa pada era ini kurang memberikan tumpuan dan fokus terhadap anak-anak lantaran terlalu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek material. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada anak-anak untuk melakukan perkara –perkara negatif tamsilnya ponteng sekolah, melepak dan terlibat gejala-gejala yang menjerumus mereka ke kancah bertunjangkan maksiat. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak terlalu berjerih payah mengejar harta dunia yang sama sekali tidak kekal ini sebaliknya meluangkan masa sebanyak mungkin mendidik anak-anak agar menjadi insan yang syumul dari aspek zahir mahupun batin.

Selain itu, ibu bapa wajar memantau sebarang aktiviti yang dilakukan dan dengan siapa mereka berkawan. Mengikut perangkaan yang sahih lagi tepat dikeluarkan oleh akhbar Utusan Melayu Jun lalu mengatakan bahawa majoriti golongan pelajar yang terlibat dengan masalah ponteng sekolah, vandalisme dan budaya kuning bukanlah semata-mata dipengaruhi faktor dalaman. Mereka turut dipengaruhi oleh faktor luaran iaitu bahana anasir-anasir luar yang telah berjaya mempengaruhi mereka sehingga mereka tersasar jauh daripada matlamat sebenar. Anasir-anasir itu tidak lain tidak bukan ialah kawan-kawan pelajar itu sendiri. Secara zahirnya pelajar lebih cenderung untuk mendengar kata rakan-rakan ,mereka ibarat lembu cucuk hidung kerana diri mereka akan berasa terlalu kerdil dan bimbang diperlekehkan oleh rakan-rakan kerana tidak mahu mengikut perkara negatif yang dilakukan. Hal ini sekali gus mengakibatkan banyak artikel mengenai gejala tidak sihat yang melibatkan ramai pelajar khasnya pelajar Melayu telah terpampang di dada-dada akhbar. Izharnya, ibu bapa seharusnya memantau aktiviti dan gerak -geri anak-anak mereka agar tidak terus didominasi oleh anasir-anasir luar yang boleh mengakibatkan demoralisasi selain tidak bercermin di air keruh. Perkara ini dilakukan bukanlah untuk mengongkong anak-anak malahan sebagai satu formula bagi menyelamatkan masa depan anak-anak kelak.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang, kita hampir setiap hari disogokkan serta dihidangkan dengan limpahan cerita-cerita moden yang tidak elok ditonton oleh pelajar di kaca televisyen. Tidak ketinggalan adpertensi-adpertensi turut serta mempromosikan iklan yang tidak berfaedah untuk santapan ramai. Perkara ini merupakan salah satu elemen utama pelajar acapkali ponteng sekolah dek terlalu ghairah menonton televisyen yang sememangnya menghidangkan variasi rancangan untuk santapan khas mata manusia spesifiknya bagi mereka yang melanggani Astro. Hal ini bukan sahaja merugikan masa mereka malahan turut membazir wang kerana terpaksa menanggung caj elektrik yang tinggi. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda iaitu membazir itu amalan syaitan dan mereka yang suka melakukan pembaziran sesungguhnya sahabat syaitan yang nyata. Oleh itu, peranan ibu bapa dalam membendung masalah ini amat diperlukan. Ibu bapa seyogianya mengawal secara rapi rancangan yang ditonton anak-anak mereka kerana perkembangan sains dan teknologi yang kian pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan pada mutakhir ini menyaksikan pelbagai rancangan yang disiarkan adalah semata-mata mahu menunjukkan budaya hedonistik yang kian menular.

Di samping itu, ibu bapa juga mesti memberikan anak-anak nasihat dan membentuk peribadi mereka agar luhur dan suci dipandang masyarakat sarwajagat. Selain mengelakkan mereka daripada dunia atau alam ponteng sekolah. Ibu bapa wajar memberi nasihat kepada anak-anak relevan dengan kehendak zaman. Sahabat Rasullah s.a.w iaitu Saidina Abu bakar As- Siddiq r.a pernah bersabda yang bermaksud didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka. Selain itu falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan empat mekanisme yang vital dalam usaha menjana satu produk modal insan untuk menghadapi cabaran kerja yang mencabar selain seimbang dari aspek mentaliti dan rohani. Empat kriteria yang dimaksudkan ialah spiritual, jasmani, emosi dan intelek yang merangkumi asas pembinaan modal insan yang memiliki standard kualiti minda kelas pertama dan kepimpinan transenden selaras dengan strata negara bitara lain tamsilnya Jepun, China dan Amerika Syarikat ibarat duduk sehamparan, berdiri sepermatang dan bersukat sama paras. Oleh itu jelaslah di sini bahawa peranan ibu bapa dalam memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada anak-anak begitu signifikan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Selain itu ibu bapa juga sepatutnya meluangkan masa pada hujung minggu bersama anak-anak untuk mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga . Ibu bapa seharusnya membawa anak berlibur ataupun berdarmawisata di tepi pantai yang bersih serta indah disulami ombak yang memukul pantai. Hal ini sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan di tempat kerja untuk para ibu bapa dan tekanan selepas sehari suntuk sibuk menelaah buku bagi pelajar. Dengan cara ini sekali gus dapat menghalang daripada berlakunya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jauh perjalanan luas pandangan . Dalam konteks ayat ini dapat dirumuskan bahawa bercuti bukan sahaja sebagai medium untuk menghilangkan tekanan malahan dapat menimba ilmu pengetahuan mengenai keindahan alam semulajadi atau boleh diklasifikasikan sebagai ilmu alam.

Secara ijmalnya, peranan ibu bapa dalam membendung kemelut gejala ponteng yang frekuensi bergelut ini seharusnya dijalankan. Ibu bapa seyogianya mengembleng satu adunan usaha yang cukup mantap dengan mengimplementasi variasi uslub. Formula dan pedagosi yang pragmatik dan proaktif untuk membentuk kembali peribadi anak-anak selain menggalakkan mereka membuat anjakan paradigma kerana hal ini tidak wajar diambil ranca sekiranya mahu mendepani realiti dunia pascadomestik dan pascaglobalisasi yang sudah pastinya menjanjikan gelombang reformasi yang cukup padat.

No comments:

Post a Comment