Tuesday, November 8, 2011

Soalan: Keadaan cuaca yang tidak menentu dan aktiviti pembangunan yang tidak terancang di sesetengah kawasan di negara kita telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Tulis sebuah rencana tentang cara-cara untuk mengatasi kejadian tanah runtuh.


Mengatasi Kejadian Tanah Runtuh

Oleh: Akmal Faiz bin Dhahadan

Agus anak Simbalan menangis teresak-esak . Kelopak matanya dibanjiri air mata yang terus mengalir laju. Sesekali dia menyeka air matanya yang tidak pernah kering sejak kelmarin. Pemergian ayahanda tercinta di dalam kejadian tanah runtuh itu sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Bukit kecil di belakang rumahnya yang berdiri megah selama ini rebah lantas membawa bongkahan tanah lalu meranapkan pondok kecil tempat mereka berteduh selama ini. Begitulah situasi yang dialami oleh salah seorang mangsa tanah runtuh di perkampungan orang asli baru-baru ini. Kejadian tanah runtuh yang acapkali berlaku di negara kita akhir-akhir ini telah menggusarkan banyak pihak.

Keadaan cuaca yang tidak menentu di negara kita telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh. Antara kaedah untuk mengatasi kejadian tanah runtuh ialah dengan menanam pokok-pokok di lereng-lereng bukit yang berisiko untuk berlakunya kejadian tanah runtuh. Disebabkan oleh statusnya sebagai sebuah negara beriklim tropika, Malaysia tidak berupaya untuk mengelak daripada ditaburi kadar hujan yang tinggi sepanjang tahun. Dengan purata taburan hujan sebanyak 165mm sepanjang tahun, ketiadaan penyerap air hujan seperti pokok mampu mencetuskan bencana tanah runtuh. Mengambil contoh daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku di Hutan melintang Perak pada tahun 1995, kejadian malang yang meragut nyawa 15 orang penduduk perkampungan orang asli itu berlaku kerana terdapat air terjun bukit yang lalu di bukit berhampiran. Hal ini berlaku kerana bukit itu telah digondolkan bagi tujuan pembalakan. Akibatnya, struktur tanah menjadi longgar dan tidak stabil lantas menenggelamkan perkampungan orang asli yang berhampiran.

Benarlah kata pepatah orang tamak selalu rugi. Sikap pemaju perumahan yang terlalu mementingkan keuntungan telah merugikan banyak pihak. Kawasan perumahan dibina di lereng-lereng bukit seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Dalam usaha untuk mengatasi kejadian tanah runtuh di negara kita, seharusnya pemaju-pemaju perumahan tidak membina sebarang bangunan mahupun kawasan perumahan di kawasan lereng bukit. Apabila sesuatu bangunan didirikan di kawasan berlereng, risiko terdedah kepada bencana tanah runtuh adalah amat tinggi. Masih ingatkah lagi tentang kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan perumahan elit Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur ? Dalam kejadian tersebut sebanyak 28 buah banglo telah ranap dan ada antaranya dihanyutkan tanah yang menggelungsur dari bukit yang berhampiran. Peribahasa Melayu ada mengatakan jangan sampai pisang berbuah dua kali ,benar-benar terjadi kerana di tapak yang berhampiran juga pernah berlaku “ tragedi Highland Tower” yang turut mengorbankan anak Tun Musa Hitam Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Bagaimanapun segala-galanya sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Jhaziman Abu Mansur, terdapat sebanyak 1591 buah bukit, cerun dan lereng bukit yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh. Walau bagaimanapun, risiko kejadian tanah runtuh dapat dikurangkan sekiranya pihak berkuasa tempatan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan cerun. Pihak berkuasa tempatan seharusnya tidak hanya goyang kaki di pejabat tetapi haruslah kerap turun padang dengan melakukan kerja-kerja penuelenggaraan cerun. Malang tidak berbau tetapi kejadian tanah runtuh dapat dielakkan melalui pengamatan selain pemerhatian seperti rekahan-rekahan kecil dan pemendapan wujud di lereng-lereng bukit. Melalui pengawasan yang berkala, pastinya bencana tanah runtuh seperti yang berlaku di sesebuah madrasah di Hulu Yam Selangor dapat dielakkan lantas menyelamatkan ratusan nyawa orang yang tidak berdosa.

Di samping itu, kerja-kerja penarahan bukit haruslah dielakkan bagi mengatasi kejadian tanah runtuh. Pengendali lebuh raya seharusnya mengambil langkah lain bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lebuh raya seperti membina terowong berbanding memotong bukit. Mengambil contoh kejadian yang berlaku di di Lebuhraya NKVE Bukit Lanjan Selangor, kejadian tanah runtuh telah berlaku dan memaksa lebuh raya tersebut ditutup kepada orang ramai selama enam bulan. Hal ini menyebabkan kerugian kepada banyak pihak kerana pengguna terpaksa dilencongkan ke lebuh raya lain yang memakan masa perjalanan yang lebih panjang berbanding perjalanan melalui lebuh raya NKVE sedia ada.

Selain itu , lereng-lereng bukit yang berisiko juga seharusnya diambil perhatian dan tindakan oleh pihak berwajib dengan membina tembok dan longkang di tepi cerun. Melalui pembinaan tembok dan longkang, aliran air hujan akan dapat disalirkan ke bawah dengan sempurna tanpa menjejaskan struktur tanah. Hal ini akan menjamin keteguhan struktur tanah serta mengelakkan tanah menggelonsor dengan lebih cepat seterusnya risiko kejadian tanah runtuh dapat dikurangkan seperti yang dilakukan di sepanjang lebuh raya Utara-selatan(PLUS). Banyak cerun atau bahagian berbukit yang dibina tembok dan longkang bagi mengalirkan air turun dengan sempurna. Di samping itu, pemaju sesuatu projek juga boleh mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh dengan menggunakan kaedah meratakan bukit.Namun begitu, kaedah sedemikian akan mengubah geografi sesuatu tempat itu. Walau bagaimanapun , kaedah ini adalah antara kaedah yang paling selamat untuk tujuan pembangunan. Hal ini dapat dibuktikan melalui pembinaan lebuh raya karak yang sememangnya mempunyai kawasan geografi yang ber dan bercerun . Banyak bukit yang dahulunya berdiri megah kini telah tinggal nama sahaja.

Akhirul kalam, terdapat pelbagai pendekatan untuk mengatasi i kejadian tanah runtuh di negara kita. Kejadian tanah runtuh yang sering menjadi bahan berita di negara kita pasti akan dapat dikurangkan sekiranya adanya pemantauan dan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya dengan pihak-pihak berkaitan. Kita amat berharap selepas ini tidak ada lagi kedengaran berlakunya tragedi yang menyayat hati yang membabitkan kejadian tanah runtuh. Dalam hal ini, tindakan undang-undang yang tegas dan konsisten perlu diambil kepada mana-mana pihak yang berani melanggar peraturan yang sedia ada demi kebaikan semua pihak.

No comments:

Post a Comment