Saturday, November 5, 2011

CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

Warga tua merujuk ibu, bapa,datuk atau nenek,bapa saudara atau ibu saudara yang sudah berumur. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

Ahli keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Manakala bapa membanting tulang empat kerat mencari rezeki membesarkan anak-anak. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur.Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.

Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua.Kita perlu memberi perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut.

Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta berganding bahu seperti aur dengan tebing menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contohnya, pembinaan rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan. Di samping itu, warga tua turut mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan dengan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.

Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta internat boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Contohnya rancangan yang disiarkan oleh TV3 ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita,jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, suatu hari nanti, kita juga pasti ’tua’.Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang sanggup berkorban melahirkan, membesarkan,dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup.

No comments:

Post a Comment