Tuesday, November 8, 2011

Disiplin Asas kejayaan Akademik
Oleh : Hamidah Hashim

Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan Akademik".
Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya
Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan hidup berdisiplin. Oleh sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu

Erti disiplin yang sebenarnya.


Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang rumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.


Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin, pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.
Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas.
Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan. Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.


Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli, pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan seseorang kembali ke pangkal jalan.

No comments:

Post a Comment