Wednesday, January 22, 2014

Friday, February 1, 2013

Karangan Bahagian A: Faedah-faedah Menggunakan Komputer


Dewasa ini, komputer merupakan  alat penting  yang  digunakan di kebanyakan sekolah di negara kita. Sebagai contoh, komputer seringkali digunakan oleh guru-guru semasa menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Kini boleh dikatakan ramai dalam kalangan murid sekolah telah mahir dalam menggunakan computer seperti kata kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Oleh itu, terdapat banyak faedah belajar menggunakan komputer.
Antara faedah belajar menggunakan komputer ialah pelajar-pelajar  dapat berkongsi  maklumat   bersama-sama rakan. Hal ini demikian kerana rakan-rakan yang berkebolehan dalam mengendalikan komputer akan saling menunjuk cara dan menyampaikan maklumat antara satu sama lain. Sebagai contoh, memuat turun bahan pembelajaran daripada Internet dan lain-lain. Oleh itu belajar menggunakan komputer akan membentuk perkongsian maklumat dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, belajar dengan menggunakan komputer akan menjadikan aktiviti  pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Hal ini demikian kerana setiap pelajar akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Sebagai contoh, program Skor A atau program interaktif yang memerlukan pelajar menyelesaikan tugasan secara langsung  atas  talian. Sudah terang lagi bersuluh, belajar menggunakan komputer menjadikan suasana pembelajaran akan lebih ceria.
Seterusnya, faedah belajar menggunakan komputer ialah  dapat menjimatkan masa sesi pembelajaran.  Pada kebiasaannya  bahan-bahan pembelajaran  akan disediakan  terlebih dahulu oleh guru atau pelajar.  Selain itu, tugasan  atau latihan  pelajar juga dapat dijawab atas talian tanpa memerlukan bahan edaran bersesuaian dengan kata peribahasa, masa itu emas.  Oleh itu, faedah belajar menggunakan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
Selain itu, belajar menggunakan komputer  boleh meningkatkan prestasi akademik seseorang  pelajar  di sekolah.  Hal ini demikian kerana terdapat banyak informasi dan maklumat terkini boleh dijadikan sumber ilmu.  Sebagai contohnya, pelajar-pelajar boleh mengakses internet untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam subjek tertentu.  Jika ini dilakukan, sudah tentu pelajar-pelajar boleh meningkatkan kejayaan dalam peperiksaan seperti kata cogan kata , Usaha Tangga Kejayaan.  Oleh itu, belajar menggunakan komputer akan memudahkan pelajar berjaya dalam pelajaran.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu dengan menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran.  Di samping menjadikan generasi yang celik komputer, kaedah ini juga mendatangkan banyak faedah.  Hal ini bertepatan dengan dasar  kerajaan dan saranan Perdana Menteri ke arah konsep 1 Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Contoh Karangan: Ciri-ciri Remaja Berwawasan


Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.
            Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.

Nyatakan Latar Masyarakat Berdasarkan contoh peristiwa

Latar Tempat
Latar  Masyarakat
Peristiwa
Danau Seberang


Fuad dengan keluarga angkatnya, Mak Salmah dan Pak Ismail tinggal.
Di situlah Fuad belajar mengaji dengan Pak Ismail.

Di surau, Danau Seberang




Fuad tiba di surau untuk solat Isyak berjemaah

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia


Fuad berkhidmat  sebagai guru sandaran Bahasa Inggeris. Dia diberi tugas penting iaitu mengajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 3. Beliau berkhidmat bersama-sama dengan Cikgu Farhana.


Rumah Peter Lim di Sungai Ruan


Fuad pulang ke Sungai Ruan menziarahi apaknya Peter Lim setelah setahun tidak pulang.
Peter Lim sakit dan menghadapi masalah perbelanjaan hidup.  Fuad berjanji akan menanggung perbelanjaan sekolah adik- adik sepupunya .
Fuad bertanya tentang ibunya kepada Peter Lim dan mahu mencari susur galur sebelah ibunya

Perkampungan Felda Lembah Klau


Fuad dan Pak Said bertemu dengan Pak Ngah Lias, dalam usaha Fuad mencari ibunya, Mariana.
Mariana dan Pak  Seman tinggal sebelum mengikut kakak angkatnya berpindah  Bentong.


Kampung Sedili – terletak di Kuala lipis


Fuad, Pak Said dan Pak Ngah Lias menjejaki kubur ibu Fuad, Mereka bertemu dengan Pak Shamsuddin yang akhirnya memberitahu bahawa ibu Fuad belum meninggal dunia.

Kawasan Perumahan Taman Mas,  Kuantan
                                               



Terletaknya rumah Farhana
 dan di sinilah Fuad
diperkenalkan kepada
ibu Farhana, Mariana
Taman Syahbandar
.



Di sinilah letaknya sebuah restoran yang bernama Restoran Terapung Taman Syahbandar. Fuad makan bersama-sama dengan Farhana di restoran ini bagi meraikan hari lahir Farhana
Rumah  Cikgu Zamani


Fuad datang ke rumah Cikgu
 Zamani kerana sangkaannya
ada jemputan doa selamat
Cikgu Zamani memujuk Fuad
agar mengikuti jemaah yang dianggotainya.
Fuad mempertikaikan tentang jemaah agama yang banyak sedangkan agama islam itu
hanya satu.
Fuad berasa ada pertentangan pendapat tentang cara menarik masyarakat
menghayati Islam. Fuad tidak bersetuju dengan sikap prejudis Cikgu Zamani sesama
orang Islam iaitu Farhana

Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan




Tempat ibu Farhana, Mariana Osman dirawat. Di sinilah Fuad bertemu dengan ibunya semula. Robert Lim juga datang ke hospital ini dan bertemu dengan Fuad, Farhana serta Mariana.
Lapangan Terbang KLIA



Keluarga Fuad ( Farhana dan adik-adiknya) menghantar Fuad, Mariana, Pak Ismail
dan Mak Salmah mengerjakan umrah.
Robert Lim turut hadir untuk  mengucapkan selamat jalan dan  memberitahu
Fuad dia mungkin akan mengikuti mereka

CUBA BINA AYAT DARIPADA PERIBAHASA BERIKUT:

SENARAI PERIBAHASA  TEKS  TINGKATAN 4 :

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Masyarakat di kampung itu bersetuju untuk mengadakan aktiviti gotong royong pada minggu hadapan kerana mengamalkan sikap bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. 

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Biarpun Amin adalah darah daging kepada Pak Abu, namun beliau tetap melaporkan kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh Amin kepada pihak berkuasa.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Negara Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain kerana kebijaksanaan pemimpin memakmurkan negara ini.

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

Sifat murah hati yang diamalkan oleh pelajar itu telah membolehkannya memperoleh gelaran pelajar cemerlang sahsiah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.



Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5


1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Penduduk kampung terus menderita akibat sikap lintah darat yang diamalkan oleh peniaga-peniaga yang menjual barangan keperluan harian.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

Pemuda itu telah menjadi batu penghalang kepada Samsuri untuk mengahwini Mazida kerana beliau juga ada hati kepada wanita itu.

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.


MAKSUD PERIBAHASA DAN CONTOH AYAT :

1. Ada air adalah ikan.
Maksud : Di mana-mana sahaja kita tinggal, di situ ada rezeki.

Contoh ayat : Walau ke mana-mana sahaja kita pergi, janganlah cepat kecewa kerana di mana ada air adalah ikan.

2. Ada gula adalah semut
Maksud : Apabila sesuatu tempat itu mudah mendapat kesenangan atau kemewahan di situlah ramai orang berkumpul.

Contoh ayat : Di bandar itu ramai orang tinggal kerana senang mendapat rezeki dan kemewahan, seperti kata peribahasa ada gula adalah semut.

3. Air dicencang tidak akan putus 
Maksud : Perselisihan antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.

Contoh ayat : Ahmad yang tidak bertegur sapa dengan abangnya selama setahun, sekarang telah berbaik-baik semula kerana air dicencang tidak akan putus.

4. Air pun ada pasang surutnya
Maksud : Untung dan malang nasib seseorang itu sentiasa bertukar ganti.

Contoh ayat : Nasib Pak Zaki samalah seperti keadaan air pun ada pasang surutnya kerana dahulu dia hidup mewah tetapi sekarang dalam kesusahan.

5. Air sama air, sampah ke tepi juga
Maksud : Jangan mencampuri pergaduhan adik-beradik atau sekeluarga kerana apabila mereka berbaik semula kita akan tersisih.

Contoh ayat : Karim yang mencampuri perselisihan Ismail sekeluarga kini tidak dipedulikan lagi apabila keluarga Ismail berbaik semula kerana air sama air, sampah ke tepi juga akhirnya.

6. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya
Maksud : Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.

Contoh ayat : Faridah itu umpama air yang tenang jangan disangka tiada buaya, walaupun dia sentiasa pendiam tetapi bijak dan berani memberikan pendapat.

7. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Maksud : Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dibuat sehingga selesai dan berjaya.

Contoh ayat : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

8. Alah bisa, tegal biasa
Maksud : Perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.

Contoh ayat : Kerja memotong kayu itu alah bisa, tegal biasa sahaja bagi Ah Kow kerana sejak kecil lagi dia telah melakukannya.

9. Alah membeli, menang memakai
Maksud : Walaupun terasa berat membeli sesuatu barang yang mahal harganya tetapi barang itu bermutu dan tahan Iama.

Contoh ayat : Saya tetap membeli baju yang mahal harganya itu kerana saya percaya alah membeli, menang memakai.

10. Alah sabung, menang sorak
Maksud : Harta benda habis tetapi faedahnya tidak didapati.

Contoh ayat : Perbuatan Pak Leman itu alah sabung, menang sorak kerana wangnya banyak habis tetapi cita-citanya untuk menjadi pemimpin di kampung itu tidak berjaya