Dewasa
ini, komputer merupakan alat penting yang digunakan di kebanyakan sekolah di negara
kita. Sebagai contoh, komputer seringkali digunakan oleh guru-guru semasa
menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Kini boleh dikatakan ramai dalam
kalangan murid sekolah telah mahir dalam menggunakan computer seperti kata kata
peribahasa alah bisa tegal biasa. Oleh itu, terdapat banyak faedah belajar
menggunakan komputer.
Antara
faedah belajar menggunakan komputer ialah pelajar-pelajar dapat
berkongsi maklumat bersama-sama rakan. Hal ini demikian kerana
rakan-rakan yang berkebolehan dalam mengendalikan komputer akan saling menunjuk
cara dan menyampaikan maklumat antara satu sama lain. Sebagai contoh, memuat
turun bahan pembelajaran daripada Internet dan lain-lain. Oleh itu belajar
menggunakan komputer akan membentuk perkongsian maklumat dalam kalangan
pelajar.
Di
samping itu, belajar dengan menggunakan komputer akan menjadikan aktiviti pembelajaran
lebih menarik dan berkesan. Hal ini demikian kerana setiap pelajar akan
berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara
aktif. Sebagai contoh, program Skor A atau program interaktif yang memerlukan
pelajar menyelesaikan tugasan secara langsung atas
talian. Sudah terang lagi bersuluh, belajar menggunakan komputer
menjadikan suasana pembelajaran akan lebih ceria.
Seterusnya,
faedah belajar menggunakan komputer ialah
dapat menjimatkan masa sesi
pembelajaran. Pada kebiasaannya bahan-bahan pembelajaran akan disediakan terlebih dahulu oleh guru atau pelajar. Selain itu, tugasan atau latihan
pelajar juga dapat dijawab atas talian tanpa memerlukan bahan edaran
bersesuaian dengan kata peribahasa, masa itu emas. Oleh itu, faedah belajar menggunakan komputer
dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
Selain
itu, belajar menggunakan komputer boleh meningkatkan prestasi akademik seseorang pelajar di sekolah. Hal ini demikian kerana terdapat banyak
informasi dan maklumat terkini boleh dijadikan sumber ilmu. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar boleh
mengakses internet untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam subjek
tertentu. Jika ini dilakukan, sudah
tentu pelajar-pelajar boleh meningkatkan kejayaan dalam peperiksaan seperti
kata cogan kata , Usaha Tangga Kejayaan.
Oleh itu, belajar menggunakan komputer akan memudahkan pelajar berjaya
dalam pelajaran.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dan
berganding bahu dengan menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan
dalam pembelajaran. Di samping
menjadikan generasi yang celik komputer, kaedah ini juga mendatangkan banyak
faedah. Hal ini bertepatan dengan
dasar kerajaan dan saranan Perdana Menteri
ke arah konsep 1 Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
No comments:
Post a Comment