Thursday, January 5, 2012

NOVEL : Cempaka Putih Untukmu ( Rohani Deraman )


Sinopsis

Novel ini mengisahkan keakraban dan keikhlasan dalam persahabatan antara dua kaum iaitu Hartini (orang Melayu) dan Satiah (orang Asli). Hartini telah mengikut ayahnya Encik Hasrul berpindah ke sebuah perkampungan orang asli iaitu Kampung Kuala Batu di Jerantut, Pahang. Hartini bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan telah berkenalan dengan beberapa rakan baharunya seperti Mijod, Ineng, Sinda, Ambok dan Meramu. Begitu juga Satiah yang merupakan rakan karibnya. Satiah seorang murid yang pendiam kerana latar belakang dan masalah peribadinya. Justeru keluarga Hartini mengambil keputusan untuk mengambil Satiah sebagai anak angkat mereka. Lalu, Satiah tinggal bersama keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah. Hubungan dan persahabatan antara dua keluarga semakin erat. Namun pada suatu hari Satiah didapati pengsan. Lantaran itu Satiah telah dibawa ke hospital dan hasilnya doktor mengesahkan Satiah menghidap penyakit barah paru-paru yang kronik. Encik Hasrul mencadangkan supaya Satiah dirawat di hospital tetapi hal ini mendapat bantahan daripada ayah Satiah Pak Morit yang masih kuat berpegang kepada rawatan tradisional. Penyakit Satiah masih tidak menampakkan apa-apa perubahan sehinggalah tiba hari keputusan peperiksaan PMR diumumkan. Satiah merupakan calon tunggal berjaya memperoleh keputusan 8A tetapi pada masa yang sama dia terpaksa bertarung dengan kesakitan. Akhirnya Pak Morit akur dan bersetuju agar Satiah dirawat di hospital. Keadaan Satiah beransur pulih tetapi mereka terpaksa berpisah kerana mereka berdua akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama yang berasingan. Pelbagai dugaan telah Hartini lalui di sekolah baharu, antaranya beliau telah dimasukkan ke dalam lokap kerana difitnah oleh Junainah yang mengedarkan pil ecstasy. Semua dugaan berjaya diatasi oleh Encik Hasrul. Hartini dan Satiah berpeluang bertemu kembali sewaktu cuti persekolahan. Namun pertemuan mereka merupakan pertemuan terakhir apabila Satiah telah kembali kerahmatullah. Hartini telah membaca catatan Satiah dan sebelum kembali ke asrama beliau telah menanam sepohon cempaka putih di pusara Satiah sebagai tanda kasihnya.

No comments:

Post a Comment