Saturday, October 22, 2011

USAHA-USAHA INDIVIDU MEMUPUK AMALAN MEMBACA

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian , rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata "yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat" untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca . Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, saya perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada , Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau di bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara paling proaktif dan mujarab untuk seseorang mencipta kejayaan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Sementelahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya 'bed story' sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah senjata yang paling tajam sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang brminda kelas pertama. Berdasrkan pernyataan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi 'role model' kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaiatu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi pernghargaan bermula daripada gangsa, perak , emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca lahir daripada diri saya sendiri tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini , saya amat berpegang dengan ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang sekiranya dia sendiri tidak mahu berubah.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan pustaka(DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsis buku-buku yang dijual. Dengan ini , saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk memberlinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma , malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku , saya yakin akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca . Peribahasa jauh perjalan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita perlu merealisasikan hasrat membentuk 'Masyarakat Pembaca Teras Negara Maju'. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Olah hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen 'Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan' bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara dan amat bertepatan dengan kata-kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipernuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan 'Membaca Itu Jambatan Ilmu' dan 'Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya' seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato' Seri Najib Tun Ratuk mencapai wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

No comments:

Post a Comment