Sunday, October 23, 2011

Penulisan (Sesuai untuk bahan bacaan pelajar sederhana )

Soalan : Slogan “Membaca Jambatan Ilmu” menunjukkan bahawa aktiviti membaca mendatangkan pelbagai faedah kepada seseorang.

Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah kepentingannya? Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandungannya, kepentingannya pula adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan. Hal ini kerana membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama ialah kita perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada , Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di sini , remaja dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan .walaupun perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diterokai, remaja perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang dieroleh amat besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, remaja juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air. Dengan itu, remaja perlulah rajin mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.

Selain itu, remaja juga boleh ikut serta secara aktif program Nilam iaitu Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, Nilam berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, remaja perlulah membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam buku Nilam. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak , emas dan seterusnya Nilam. Malah pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan dalam pertandingan tersebut. Dalam program ini juga terdapat tahap rakan pembaca. Rakan pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka . Pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan meraka. Kesannya, pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka.

Di samping itu, remaja juga perlulah aktif menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh , menyertai aktiviti-aktiviti seperti membaca paling banyak, pidato dan forum semasa Program Bulan Bahasa. Selain dapat menyemai sikap membaca, remaja juga dapat meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga sudah pasti akan melaksanakan pelbagai program lain yang berkaitan dengan membaca. Misalnya, Satu Murid Sebuah Buku dan membaca bersama ketika ada waktu yang terluang. Justeru, pelajar tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan ini kerana aktiviti seperti ini mendatangkan pelbagai kebaikan.

Sementara itu, remaja juga digalakkan untuk pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, remaja akan dapat mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan pustaka(DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan . Di pameran-pameran seperti inilah remaja dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan.Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsis buku-buku yang dijual . Dengan ini, remaja dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut. Justeru, remaja bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa , kos dan tenaga.

Remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada masa senggang. Aktiviti ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu mengisinya dengan membaca kerana masa itu emas. Marcus Aurelis pernah berkata jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu. Di sini jelaslah bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya agar melakukan sesuatu yang baik. Dengan itu, remaja perlulah sentiasa menggalakkkan diri sendiri agar sentiasa membaca ketika waktu senggang.

Seterusnya, remaja juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai. Tamsilnya, Dewan Siswa, majalah I-Sihat dan Solusi. Di rumah remaja boleh membeli buku tersebut melalui internet tau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha ,mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya,Profesor Ungku Aziz, Maru Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor sharifah Abu Salem boleh dijadikan idola mereka. Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana ketekalan dan kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan dijadikan pendorong. Walaupun kini maklumat di hujung jari, tetapi tidak mungkin maklumat yang diperoleh itu menyamai secara total seperti hasil yang ditulis oleh mereka. Hal ini kerana , hanya jauhari yang mengenal manikam. Justeru , remaja haruslah menjadikan tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis sebagai pujaan hati mereka.

Prakarsa seterusnya ialah berkawan dengan rakan sebaya yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa peringkat remaja. Malah, Saidina Ali bin Abi Talib juga ada mengatakan selemah-lemah manusia adalah orang yang tidak dapat mencari rakan dan orang yang lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari. Melalui kata-kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa rakan itu amat besar nilainya dan rakanlah yang dapat memberi kita pelbagai faedah. Dengan itu, remaja perlulah arif memilih rakan seperti rakan yang rajin membaca . Jika remaja tersilap langkah dalam memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam hidup kita.

Konklusinya, sebagai seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara kerana mereka merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang menjadi aset bernilai kepada negara dan bangsa. Janganlah biarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontrakdiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan Membaca itu Jambatan Ilmu dan Rakyat Membaca ,Bangsa Berjaya seperti yang diuar-uarkan oleh Pedana mMenteri Malaysia kita, dato’ seri Najib bin abdul Razak.Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk merealisasi wawasan.

No comments:

Post a Comment