Kebaikan Budaya Membaca
Budaya membaca dalam masyarakat kerap menjadi bahan perbincangan ahli akademik dan pemimpin negara. Kajian menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat masih rendah. Pada pandangan saya, isu budaya membaca ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Jika budaya membaca dalam kalangan masyarakat terus rendah maka hasrat pemimpin negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pasti terganggu. Terdapat beberapa kebaikan budaya membaca kepada masyarakat.
Kebaikan pertama budaya membaca ialah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Dengan membaca seseorang itu dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu perkara atau dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa ‘Membaca Jambatan Ilmu’. Sesungguhnya,terdapat banyak bahan bacaan yang boleh dibaca oleh masyarakat seperti surat khabar, majalah dan buku-buku. Oleh itu, sewajarnyalah ibu bapa membelikan bahan bacaan untuk keluarga pada setiap bulan supaya dapat menambahkan pengetahuan anak-anak.
Kebaikan seterusnya budaya membaca ialah dapat menambahkan perbendaharaan kata. Sewaktu membaca, seseorang itu akan menemui perkataan-perkataan baru yang belum pernah ditemui dalam pembacaan terdahulu. Dengan adanya perbendaharaan kata yang banyak seseorang akan lebih berupaya bercakap dengan lancar mengenai sesuatu perkara dan boleh menguasai suasuatu bahasa dengan mudah.
Budaya membaca juga membolehkan seseorang pelajar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Seseorang pelajar akan dapat memahami sesuatu tajuk mata pelajaran dengan baik jika banyak membaca atau mengulangkaji pelajaran. Pelajar boleh membaca di perpustakaan sekolah, bilik belajar atau di rumah. Jika pelajar dapat membaca buku sekurang-kurangnya dua jam sehari, pasti pelajar dapat lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Di samping itu , budaya membaca juga membolehkan seseorang memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan.Sebagai contoh kita boleh membaca ketika menunggu bas atau menunggu kereta sewa. Penggunaan masa lapang yang baik membolehkan seseorang mendapat faedah yang banyak.
Kesimpulannya, budaya membaca banyak faedahnya kepada rakyat dan negara. Pada pendapat saya, budaya membaca ini perlu dipupuk sejak pelajar di bangku sekolah rendah lagi bersesuaian dengan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kempen-kempen untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan dipelbagaikan. Dengan mengamalkan budaya membaca, hasrat Malaysia menjadi negara maju pasti akan tercapai.
No comments:
Post a Comment