Tuesday, March 8, 2011

Permainan Tradisional dan usaha-usaha mempopularkannya

Dewasa ini, permainan tradisional tidak lagi digemari oleh generasi muda malah kedapatan juga permainan yang telah pupus ditelan zaman. Terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan fenomena ini berlaku. Oleh sebab itu, pelbagai langkah drastik perlu dilakukan untuk mempopularkan kembali permainana tradisional.
Pada umumnya, permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional pada zaman lampau. permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat dan seterusnya diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya. pada kebiasaannya, permainan tradisional ini dimainkan pada masa lapang, pada perayaan-perayaan tertentu atau selepas tamat sesuatu musim, misalnya musim menuai padi. Namun demikian, pada hari ini permainan tradisional hanya dimainkan oleh segelintir masyarakat sahaja. Hal ini sedemikian kerana permainan tradisional yang menjadi lambang kemegahan dan warisan tradisi masyarakat terdahulu semakin dilupai oleh generasi muda.
Terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan permainan tradisional semakin dilupai oleh masyarakat kini. Faktor utama yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah remaja zaman sekarang beranggapan bahawa permainan tradisional sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi dimainkan. Persaingan dengan permainan moden yang canggih seperti permainan komputer juga merupakan ancaman kepada permainan tradisional. Remaja hari ini juga lebih cenderung kepada sukan lasak yang dianggap lebih mencabar dan memerlukan daya saing serta daya tahan yang tinggi. Hal ini menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat dan kian melupai cara sesuatu permainan tradisional dimainkan.
Kita, sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama-sama bertanggungjawab dan berganding bahu untuk mempopularkan kembali permainan tradisional agar terus popular seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. terdapat beberapa langkah untuk mempopularkan kembali permainan tradisional. langkah pertama yang perlu diambil oleh pihak kerajaan ialah mewajibkan setiap sekolah di Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional sama ada di peringkat sekolah , daerah, negeri dan kebangsaan. Langkah ini bagi memperkenalkan kembali sesuatu permainan tradisional dan cara-cara memainkannya agar sentiasa segar dalam ingatan generasi muda. Dalam hal ini, kita amat berasa bangga dengan usaha Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim yang menganjurkan Festival Layang-layang Peringkat Antarabangsa yang bertempat di Pasir Gudang, Johor. Selain dapat memperkenalkan warisan tradisi masyarakat Malaysia, usaha ini juga dapat menarik kedatangan pelancong asing datang ke negera kita.
Pihak Kerajaan dengan kerjasama media massa dalam dan luar negera juga memainkan peranan besar untuk mempopularkan kembali permainan tradisional. pihak kerajaan dan media massa haruslah mengadakan pelbagai kempen mempromosikan permainan tersebut dengan mengadakan pameran dan pertandingan berkaitan permainan tradisional. Kempen-kempen ini perlulah diadakan secara berterusan terutama di tempat-tempat yang dikunjungi ramai masyarakat tempatan dan para pelancong. Tegasnya apa yang akan dilakukan oleh semua pihak perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi dan tidak bersifat bagai melepaskan batuk di tangga sahaja.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka. Mereka perlu mengajar cara-cara permainan tradisional sejak kecil lagi. Situasi ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. ibu bapa boleh membelikan anak mereka permainan tradisional seperti gasing, congkak, wau dan lain-lain lagi. Mereka juga boleh bermain bersama-sama anak mereka. Situasi ini secara tidak langsung dapat mengeratkan pertalian antara keluarga dan menyelami hati dan perasaan mereka, ibarat kata peribahasa sambil menyelam minum air.
Natijahnya semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk sama-sama mempopularkan kembali permainan tradisional yang semakin pupus. Hal ini amat penting agar permainan tradisional tetap popular dalam kalangan generasi muda.

2 comments:

  1. salam...minta copy artikel tentang permainan tradisional ya... mintak halal ya

    ReplyDelete
  2. salam..aniza,boleh share artikel ini...boleh sy dapatkan dari mana anda dapat sumber untuk menulis mengenai tajuk ini?

    ReplyDelete